PUTRAJAYA, 23 Oktober - Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Oktober ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur disambut baik dan ia disifatkan sebagai pengiktirafan global terhadap kepemimpinan Malaysia di pentas antarabangsa.
Penganjuran sidang kemuncak berprestij itu bukan sahaja memperkukuh kedudukan ekonomi dan keselamatan serantau, tetapi turut memberi limpahan manfaat langsung kepada rakyat melalui kestabilan, peluang pelaburan serta kerjasama strategik antara negara anggota ASEAN.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kemampanan dan Perancangan Strategik) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Mohd Hazli Ahmad @ Adnan, sidang kali ini dilihat sebagai kesinambungan usaha menjadikan bandar-bandar ASEAN lebih maju melalui Rangkaian Bandar Pintar ASEAN (ASCN).
"Dengan pembentangan pelan tindakan Smart Network, sidang ini diharap dapat menetapkan hala tuju baharu ke arah pembentukan ASEAN Pintar yang mampan," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad, melihat sidang kemuncak ini sebagai platform strategik untuk Malaysia menyuarakan pendirian negara dalam isu geopolitik global.
"Penganjuran ini membuka ruang kepada Malaysia mengetengahkan pandangan dan cadangan bernas berlandaskan prinsip berkecuali yang menjadi tunjang ASEAN. Ia satu penghormatan besar yang membuktikan keupayaan negara menganjurkan persidangan bertaraf dunia," ujarnya.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon turut senada dalam menegaskan kekuatan ASEAN bergantung kepada perpaduan dalam dasar keselamatan dan ekonomi.
"Sidang ini penting untuk mempamerkan keupayaan Malaysia serta berkongsi pengalaman dalam integriti dan pembangunan ekonomi. Saya berharap ASEAN akan memperkukuh suara bersama dalam isu kemanusiaan antarabangsa termasuk Palestin," katanya.
Bagi penjawat awam Mohd Nor Amin Misnan berharap sidang kemuncak dapat memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
"Sebagai rakyat Malaysia, kami melihat ini sebagai peluang meningkatkan kemakmuran rantau dari segi ekonomi dan keselamatan, sekali gus memberi manfaat terus kepada rakyat," katanya.
Mas Midyawan Yahya dari Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) KPKT, menyatakan penghargaan kepada kerajaan atas keyakinan ASEAN memilih Malaysia sebagai Pengerusi Sidang Kemuncak kali ini.
"Ini membuktikan negara kita telah mencapai tahap penting dalam hubungan antarabangsa serta memainkan peranan besar dalam mempengaruhi politik dan ekonomi dunia. Harapan kita agar kepengerusian ini membawa kesan positif kepada ekonomi negara dan memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia di mata dunia," katanya.