fb fb fb fb fb

RIUH X ASEAN 2025 platform serantau, perkukuh jaringan kreatif

Datin Izzatul Shima Md Tahir

KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Program RIUH X ASEAN 2025 tampil sebagai platform kreatif serantau yang menghimpunkan pelbagai elemen seni, budaya dan hiburan dari negara-negara ASEAN, sekali gus memperkukuh jaringan industri kreatif rantau ini.

Menurut Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Kandungan Kementerian Komunikasi, Datin Izzatul Shima Md Tahir, edisi kali ini menampilkan dua program utama iaitu FrequenSea Music Conference pada 21 dan 22 Oktober serta RIUH X ASEAN Marketplace di Stadium Merdeka dari 24 hingga 26 Oktober 2025.

Persidangan muzik ASEAN pertama itu menghimpunkan penceramah dan penggiat muzik dari seluruh rantau untuk berkongsi pandangan mengenai perkembangan industri muzik serantau.

"Kita juga bawakan beberapa program sisipan seperti Rumah Sora (persembahan muzik indie), Panggung Gelak (festival komedi), Lead Connect (bengkel sastera interaktif), SEA Slam (pertandingan puisi spoken word) dan RIUH Gallery Suara Berlaku (pameran seni visual)," ujarnya.

Pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti kreatif dan persembahan artis dari Malaysia serta negara ASEAN secara percuma di RIUH X ASEAN Marketplace.

Beliau turut memaklumkan, program tersebut akan berlangsung di beberapa lokasi sekitar ibu negara termasuk GMBB, Stadium Merdeka, TongShin Terrace, dan ODEON KL.

RIUH X ASEAN 2025 menjadi wadah penting untuk memperkukuh hubungan kreatif dan budaya antara negara ASEAN.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perhubungan Komunikasi Korporat QSR Brands, Anis Yusof, berkata penglibatan dalam RIUH X ASEAN 2025 adalah sebahagian daripada usaha untuk mendekati masyarakat.

"Kali ini kami mahu turun padang dan bersama rakyat secara lebih dekat melalui RIUH X ASEAN 2025," katanya.

Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung di reruai jenama berkenaan termasuk agihan 30,000 baucar eksklusif, demonstrasi penyediaan makanan serta peluang bergambar bersama maskot pada acara itu.

Program RIUH X ASEAN 2025 dijangka menarik ribuan pengunjung tempatan dan antarabangsa dengan keunikan pengisian seni, muzik, makanan serta budaya yang mencerminkan semangat serantau ASEAN.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI