PUTRAJAYA, 23 Oktober - Kerajaan bakal memberi sokongan kewangan dan menambah kemudahan diperlukan Yayasan Karyawan sepanjang proses penyelidikan transliterasi dan digitalisasi karya-karya agung Melayu dilaksanakan.
Inisiatif itu bagi memastikan penyelidikan pendigitalan dan transliterasi antara Yayasan Karyawan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya mengaplikasikan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan Model Bahasa Besar Malaysia (MyLLM).
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, projek berimpak tinggi itu menjadikan khazanah kesusasteraan dan keilmuan Melayu akan lebih mudah diakses, difahami dan dihayati masyarakat khususnya generasi muda.
"Saya juga menyedari bahawa Yayasan Karyawan kini beroperasi dengan keadaan yang agak terhad dari segi kewangan, sumber manusia mahupun ruang pejabat yang sederhana.
"Justeru, saya akan memastikan agar kerajaan berusaha salur bantuan sewajarnya khususnya bantuan kewangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu (PAKAM) 2025 di sini.
Datuk Seri Dr Zambry turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneliti langkah-langkah yang wajar diambil bagi meringankan beban Yayasan Karyawan kerana projek berkenaan memerlukan tempoh pelaksanaan panjang dan melibatkan kos penyelidikan yang besar.
Mengulas lanjut, memaklumkan inisiatif memperkenalkan manuskrip melalui transliterasi dan kajian teks turut membuka laluan baharu kepada pengkaji dari pelbagai bidang.
PAKAM 2025 bertemakan Menghayati Karya Agung Melayu melalui Penyatuan Elemen Tradisi dan Teknologi dalam Era Digital itu membuktikan
Yayasan Karyawan berperanan penting dalam memulihara dan memperlihatkan kekayaan warisan intelektual serta kesusasteraan Melayu kepada dunia.