KUALA LUMPUR, 23 Oktober- Penggunaan teknologi dan inovasi moden seperti pertanian pintar, pertanian menegak dan bioteknologi akan terus diperkasa bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata usaha itu sejajar dengan Teras Strategik 1 Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang mendukung pemodenan dan pertanian pintar.
Beliau berkata usaha kini tertumpu kepada penggunaan teknologi pertanian pintar merangkumi penyelidikan dan pembangunan (R&D), adaptasi di peringkat pelaksana, serta pengukuhan ekosistem melalui pelbagai program pembiayaan.
''Antara inisiatif yang dilaksanakan KPKM di peringkat R&D adalah melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang memperkenalkan sistem amaran awal serangan perosak bena perang berasaskan AI dan IoT bagi industri padi," kata Datuk Seri Mohamad pada sesi persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Jelas beliau, melalui program Digital AgTech hasil kolaborasi antara KPKM dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), lebih 700 sistem merangkumi subsektor tanaman, ternakan dan perikanan serta akuakultur telah dipasang di seluruh negara.
Sistem pertanian pintar berpotensi meningkatkan produktiviti dan pendapatan usahawan sebanyak 20 peratus serta pengurangan kos operasi sehingga 30 peratus.