ALOR SETAR, 23 Oktober - Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mengingatkan pelajar agar tidak membudayakan gejala buli sama ada secara fizikal mahupun emosi kerana perbuatan itu boleh membawa kemudaratan dan menimbulkan pelbagai masalah kepada semua pihak.
Baginda bertitah agar sikap hormat-menghormati dan berakhlak mulia dijadikan amalan dengan akar budaya dan nilai agama yang menjadi tunjang setiap bangsa tidak dilupakan.
"Beta juga suka mengingatkan bahawa ilmu yang diperoleh mestilah digunakan untuk kebaikan. Gunakanlah ilmu untuk membina masyarakat yang maju, berdaya saing dan berakhlak mulia.
"Dunia digital yang semakin mencabar, menuntut para pelajar supaya bijak menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi. Namun begitu, jangan sekali-kali melupakan akar budaya, dan nilai agama yang menjadi tunjang setiap bangsa," titah baginda pada majlis Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Keat Hwa ke-55, di sini.
Turut berangkat, Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff.
Sultan Sallehuddin turut menekankan yang para pendidik memainkan peranan penting sebagai penggerak utama transformasi pendidikan.
Baginda bertitah, pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi turut menyatupadukan pelajar daripada pelbagai kaum melalui aktiviti pendidikan yang selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
Sultan Sallehuddin turut mengucapkan tahniah kepada warga SMJK Keat Hwa kerana meletakkan nama baik sekolah itu di mercu kejayaan serta mengekalkan reputasi sebagai institusi pendidikan yang unggul di peringkat negeri dan kebangsaan .
Pada majlis berkenaan, baginda turut mengumumkan sumbangan RM100,000 daripada kerajaan negeri kepada pihak sekolah sebagai galakan untuk meningkatkan lagi pencapaian dalam bidang akademik dan kokurikulum pada masa hadapan.





 
                                    
            