KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Jepun dijangka dapat memainkan peranan lebih besar dalam memacu pemindahan teknologi dan pelaburan khususnya dalam kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktur di rantau ini.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata dengan kehadiran Perdana Menteri Jepun baharu, Sanae Takaichi ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dilihat sebagai pemangkin kepada hubungan lebih dinamik dan proaktif antara ASEAN dan Jepun.
Komitmen ini selaras dengan peningkatan hubungan ASEAN–Jepun ke peringkat Perkongsian Strategik Komprehensif.
"Ini merupakan antara topik utama yang akan dibincangkan dalam pertemuan dua hala dengan Jepun, agar negara itu memainkan peranan lebih besar, bukan sekadar sebagai penyokong kedua atau menumpukan kepada industri bahagian belakang.
"Sebaliknya melabur dalam industri bahagian hadapan, khususnya dalam sektor semikonduktor. Kita mempunyai pelaburan dan turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Jepun. Selain itu, ASEAN juga mempunyai kerjasama pelbagai hala bersama Jepun." katanya semasa membuat tinjauan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Perbincangan pelaburan baharu dijangka diadakan pada sidang kali ini, melibatkan rundingan dua hala dan pelbagai hala antara ASEAN dengan Jepun.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan menyaksikan penampilan pertama Perdana Menteri wanita pertama Jepun, Sanae Takaichi.
Beliau menambah ASEAN giat memperkukuh integrasi ekonomi dan kesalinghubungan serantau dengan menumpukan usaha kepada pelaksanaan sebenar pelan serta perjanjian yang telah dipersetujui.
Jelas beliau, lebih 80 hasil dan pencapaian termasuk memorandum persefahaman (MoU) dijangka dibincangkan dan diumumkan semasa persidangan tersebut, sebagai bukti komitmen ASEAN terhadap aspirasi Visi ASEAN 2045.