KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berpuas hati terhadap tahap persiapan Malaysia dalam menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Beliau berkata, setakat tinjauan terakhir yang dilakukan hari ini, semua aspek persiapan termasuk infrastruktur dan keselamatan serta penyelarasan mesyuarat berjalan lancar.
"Keselamatan saya tengok Alhamdulillah, cuma saya minta kerjasama semua pihak supaya kelancaran perjalanan tetamu-tetamu negara daripada Lapangan Terbang KLIA atau pangkalan TUDM Subang akan ada sekatan jalan.
Saya minta supaya semua berkerjasama dan juga minta maaf jika tersekat sekejap kerana banyak kedatangan tetamu, pemimpin ASEAN, ketua negara akan datang mulai 25 hingga 26 Oktober." katanya ketika membuat tinjauan akhir persiapan bagi acara tersebut.
Beliau memaklumkan mesyuarat peringkat menteri dijadual bermula petang esok, diikuti sidang kemuncak utama yang akan menghimpunkan ketua-ketua negara ASEAN serta rakan dialog dari 26 hingga 28 Oktober.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihak keselamatan telah menambah kawalan bagi menyambut kehadiran beberapa pemimpin penting dunia.
Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN (SOM) dan sesi persediaan berkaitan bermula hari ini.
Sementara Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.