KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Kementerian Pertahanan komited memastikan setiap proses perolehan dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan akauntabiliti.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menegaskan semua proses perolehan perlu melalui pematuhan ketat peraturan kewangan yang berkuat kuasa di setiap peringkat pelaksanaannya.
Beliau berkata, pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Perolehan Dalaman Kementerian Pertahanan turut berfungsi sebagai mekanisme tambahan bagi memastikan tatacara pengurusan perolehan dipatuhi sepenuhnya.
''Semua permohonan perolehan pertahanan hendaklah diperakukan oleh pihak pengguna sama ada daripada Perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
"Di peringkat perkhidmatan, setiap permohonan hendaklah melalui proses semakan dan pengesahan spesifikasi dengan kos oleh jawatankuasa di bawah Markas Perkhidmatan yang dipengerusikan Ketua Perkhidmatan masing-masing," beliau menjelaskan langkah yang diambil kementerian untuk mewujudkan proses perolehan yang lebih telus di sini.
Sebagai langkah kawalan tambahan, Jawatankuasa Penapisan Perolehan turut ditubuhkan bagi meneliti setiap cadangan sebelum dilaksanakan.
Langkah itu bagi memastikan ia selaras dengan kelulusan projek dan keperluan perolehan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.
Proses perolehan seterusnya akan dimuktamadkan oleh Lembaga Perolehan Kementerian Pertahanan bagi projek bernilai di bawah RM50 juta.
Manakala bagi projek melebihi RM50 juta, keputusan perolehan akan diluluskan oleh Lembaga Perolehan Kementerian Kewangan.