fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak ASEAN: Kawalan trafik berperingkat di Selangor bermula esok

Foto RTM

SHAH ALAM, 22 Mei – Polis Kontinjen Selangor akan melaksanakan kawalan laluan khas bersempena dengan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menerusi kenyataan memaklumkan kawalan lalu lintas itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 23 Mei pada pukul 12 tengah hari sehingga selesai acara, melibatkan beberapa laluan utama di Selangor.

Langkah tersebut bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pergerakan para delegasi yang akan tiba dan berlepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang.

''Pergerakan delegasi melalui KLIA pada 25 Mei bermula pukul 12 tengah hari sehingga 11 malam, dan pada 26 Mei bermula pukul 12 tengah hari sehingga 1 tengah hari.

"Antara laluan terlibat adalah dari Kompleks Bunga Raya ke Lebuhraya KLIA Extension, Plaza Tol KLIA ke Lebuhraya ELITE, susur masuk Putrajaya, susur Lebuhraya MEX, Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seri Kembangan dan Lebuhraya MEX'', katanya.

Manakala bagi pergerakan melalui TUDM Subang pula kawalan laluan akan dilaksanakan pada 25 Mei bermula pukul 11 pagi hingga 2 petang.

Antara laluan terlibat adalah dari TUDM Subang ke Jalan Monfort dan Lebuhraya GCE, dari Plaza Tol Shah Alam ke Lebuhraya NKVE, susur keluar KM 22 NKVE ke Lebuhraya Utara-Selatan serta sempadan Selangor-Kuala Lumpur (KM 25.1 Pintu Gerbang).

Sehubungan itu, semua pengguna jalan raya diingatkan supaya mengambil maklum tentang penutupan dan lencongan laluan yang akan berlaku sepanjang tempoh tersebut.

Orang ramai dinasihatkan untuk merancang semula perjalanan, mengelakkan laluan yang terlibat, serta mematuhi arahan petugas keselamatan di lapangan bagi mengelakkan kesesakan dan gangguan perjalanan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD