fb fb fb fb fb

Libat urus ANMS Labuan perkasa gaya hidup sihat secara menyeluruh

Peserta program libat urus dan sesi dialog awam ANMS di Labuan merakam foto kenangan

LABUAN, 22 Mei- Penglibatan aktif agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memperkasa Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) terus memperkukuh usaha ke arah mewujudkan rakyat Malaysia yang sihat dan sejahtera.

Usaha itu diterjemah melalui pelaksanaan ANMS secara menyeluruh yang menekankan pembudayaan gaya hidup sihat dan kelestarian persekitaran.

Diperkenalkan sejak tahun 2020, ANMS berteraskan empat komponen utama yang digerakkan melalui 10 strategi dan 24 inisiatif, dengan matlamat membentuk masyarakat yang lebih sihat dari segi fizikal, mental dan sosial.

Bagi menyokong pelaksanaan agenda itu di peringkat tempatan, Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan melalui Seksyen Promosi Kesihatan telah menganjurkan program libat urus dan sesi dialog awam ANMS melibatkan pelbagai pemegang taruh.

Program tersebut menyaksikan penyertaan wakil daripada 20 agensi kerajaan, sektor swasta dan NGO bagi merangka tindakan serta pendekatan bersama untuk menjayakan matlamat ANMS.

Dalam sesi tersebut, Seksyen Promosi Kesihatan turut memberi penerangan mengenai Program Penjawat Awam Sihat Sejahtera (PASS), satu inisiatif khusus bagi meningkatkan tahap kesihatan warga kerja sektor awam.

"Penyertaan menyeluruh semua pihak amat penting dalam menjayakan ANMS kerana setiap entiti memiliki peranan tersendiri dalam memastikan kesejahteraan kesihatan rakyat kekal sebagai agenda nasional utama," kata Ketua Seksyen Promosi Kesihatan, Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan WP Labuan Agnes Misun.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE