KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) di sekitar Lembah Klang diberi pilihan untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau fizikal sepanjang sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi kenyataannya meminta pihak institusi pendidikan tinggi (IPT) terlibat khususnya di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya untuk membuat semakan lokasi, masa dan tarikh laluan yang ditutup sepanjang tempoh 26 hingga 28 Oktober ini.
“Kemudahan yang diberikan ini bagi memastikan kesejahteraan warga IPT dan membolehkan mereka merancang pergerakan masing-masing sekali gus memastikan proses PdP berjalan dengan lancar,” menurut kenyataan itu.
KPT turut menasihati pelajar serta penuntut yang terkesan untuk berhubung dengan IPT masing-masing bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut.
Media sebelum ini melaporkan enam lebuh raya dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang akan dilencong secara berperingkat bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Laluan berkenaan termasuk Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya GUTHRIE, Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya MEX dan Lebuhraya KL-Seremban.
Jalan lain terlibat ialah Lebuh KLIA, Lingkaran Putrajaya dan beberapa jalan utama di pusat bandar termasuk Jalan Istana, Jalan Damansara, Jalan Tun Razak, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang, Jalan Parlimen dan Jalan Kuching.