KOTA BHARU, 21 Oktober - Polis Kelantan memperhebat pemantauan terhadap madrasah, pondok pengajian agama dan tahfiz di negeri itu susulan pendedahan bahawa hampir separuh institusi berkenaan tidak berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil semakan bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mendapati, banyak pusat pengajian agama di negeri itu masih belum mendaftar secara rasmi.
"Kita bimbang pusat pengajian agama yang tidak berdaftar berpotensi dijadikan tempat kegiatan pengubahan wang haram. Terdapat pengasas dari dalam dan luar Kelantan yang melabur jutaan ringgit ke madrasah, pondok dan tahfiz atas alasan untuk memperoleh keberkatan, namun perkara itu menimbulkan keraguan mengenai sumber kewangan mereka.
"Kami memantau bagi memastikan tiada unsur penggubahan wang haram terlibat. Pihak MAIK juga turut menjalankan pemantauan kerana bimbang wujud ajaran sesat dalam institusi yang tidak berdaftar. Polis dan MAIK bekerjasama untuk menangani isu ini," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Warga Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) di Kota Bharu di sini.
Perkara itu dinyatakan ketika mengulas kes seorang mudir pondok pengajian agama dikenali sebagai ‘Abuya’ yang baru-baru ini didakwa atas beberapa pertuduhan serangan seksual serta disyaki terbabit dengan amalan bertentangan ajaran Islam.
Dalam pada itu orang ramai turut dinasihatkan supaya menyemak status pusat pengajian sebelum menderma atau melabur. Menurut Datuk Mohd Yusoff, siasatan polis turut meneliti kemungkinan wujud unsur ajaran sesat dalam kes berkenaan.
