fb fb fb fb fb

Siasatan tipu untuk dapatkan bantuan banjir diserahkan kepada PKOB - MB Kelantan

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud

KOTA BHARU, 10 Disember - Siasatan berkaitan isu penipuan penduduk terjejas banjir yang didakwa ke pusat pemindahan sementara (PPS) semata-mata untuk mendapatkan bantuan; diserahkan kepada jawatankuasa Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, dakwaan itu perlu mempunyai bukti dan diambil tindakan jika benar kerana PPS disediakan hanya untuk penduduk terjejas banjir.

"Setiap PPS ada jawatankuasa (PKOB) yang akan mengawasi orang yang betul-betul ada di dalam. Kita harap orang yang daftar itu memang mangsa banjir.

"Jawatankuasa itu yang tahu. Itu dakwaan, kita harap tak berlakulah macam itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sanjungan Budi Sentuhan Abadi Perbadanan Kemajuan Iktisad Kelantan di sini hari ini.

Beliau mengulas isu yang dilaporkan media pada 6 Disember lepas iaitu sebilangan penduduk di Kelantan didakwa sanggup menipu dengan berpindah ke PPS semata-mata untuk mendapatkan bantuan banjir sebanyak RM3,500 yang disediakan oleh kerajaan bagi setiap keluarga sedangkan kediaman mereka tidak terkesan bencana itu.

TETITIA YUSOFF