fb fb fb fb fb

Siti Mariah kembali ke pangkuan keluarga

Siti Mariah (tengah) mencium ibunya Che Safuan Abd Rahman (kiri), Hamzah Said

PADANG TERAP, 10 Disember- Pasangan suami isteri, Hamzah Said, 65 tahun dan Che Safuan Abd Rahman, 61 tahun dari Kampung Sireh bersyukur dapat menatap wajah anak perempuan mereka yang terpisah sejak sembilan tahun lalu.

Anak mereka, Siti Mariah Hamzah, 39, telah pulang ke rumah keluarganya hari ini.

Dia yang tinggal di Negeri Sembilan tiba di rumah ibu bapanya kira-kira pukul 12.00 tengah hari tadi.

Ibunya Che Safuan berkata, kepulangan anak perempuannya selepas sembilan tahun itu memberi kelegaan kepadanya dan keluarga.

"Masa Siti Mariah sampai di hadapan pintu rumah tadi makcik terus terpana... Rasa puas dan terubat kerinduan apabila dapat menatap wajah dan memeluknya" kata Che Safuan ketika ditemui RTM di rumahnya, petang tadi.

"Kami masak makanan tengah hari dan makan bersama... Alhamdulillah hidup kami sekeluarga kembali seperti dulu.

Che Safuan dan suaminya turut berterima kasih kepada pihak polis khususnya Ketua Polis Daerah Padang Terap Deputi Superintendan (DSP) Mulkiaman Manzar dan Ketua Balai Polis Labu, Negeri Sembilan, pihak media termasuk RTM dan semua yang membantu mencari Siti Mariah.

Dia turut gembira apabila dapat bertemu dengan keluarganya.

"Saya minta maaf dekat mak, ayah dan adik-beradik atas apa yang berlaku sebelum ni... Saya ingin mulakan hidup baru bersama keluarga saya dan semoga hubungan ini dapat dieratkan kembali.

"Memang lama tidak balik, memang rindu sangat. Saya teringta semua benda dekat sini termasuk zaman kanak-kanak. Semoga semua urusan ini dipermudahkan," katanya.

Sementara itu bapanya Hamzah berkata, "lama tak jumpa, apabila dia balik ke sini ceria semula keluarga. Lengkap keluarga saya."

Kisah kehilangan Siti Mariah disiarkan RTM pada 20 November lalu dan dia berjaya ditemui pada 7 Disember hasil bantuan daripada Ketua Polis Daerah Padang Terap dan Balai Polis Labu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI