fb fb fb fb fb

Siasatan kes membabitkan HRD Corp masih diteruskan - SPRM

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki/Foto Fail

KUALA LUMPUR, 14 Ogos- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih kekal meneruskan siasatan terhadap kes yang melibatkan agensi Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan pihaknya ketika ini memerlukan masa untuk menyiasat dan meneliti semua aspek.

Jelasnya, masih banyak maklumat diperlukan daripada pelbagai pihak untuk membantu siasatan kes berkenaan.

"Pegawai-pegawai saya beritahu mereka minta masa lagi untuk menyiasat berkaitan perkara ini termasuk dengan pelaburan dan sebagainya. Penyiasatan kita ini bukan sahaja berkaitan dengan jenayah rasuah ataupun salah guna kuasa tapi juga kita melihat kepada sistem dan prosedur."

"Yang ini, kita perlu kaji betul-betul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang banyak menyentuh tentang isu governans ataupun tentang tatakelola," jelas Azam kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Inisiatif Pencegahan Rasuah Melalui Pemerkasaan Amalan Perakaunan dan Pengauditan di ibu negara.

Terdahulu, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024, terdapat tindakan serta keputusan diambil oleh pengurusan HRD Corp yang tidak mematuhi prosedur dan menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut dilapor mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM