KUALA TERENGGANU, 21 Januari- Siasatan kes pergaduhan melibatkan pemain dan pegawai pasukan ketika perlawanan Liga Bolasepak Terengganu (TFL) pada 12 Januari lalu telah dilengkapkan.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, enam individu termasuk seorang kakitangan awam, berusia 25 sehingga 40 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
Jelasnya kertas siasatan tersebut akan dirujuk terlebih dahulu ke Bukit Aman sebelum proses selanjutnya dilakukan.
"Kes ini telah disiasat dan siasatan telah dilengkapi dan kita akan hantar kertas siasatan ini ke Bukit Aman dahulu kerana melibatkan satu penjawat awam dan kemudian itu barulah kita lihat macam mana proses seterusnya," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Terdahulu, tular di media sosial klip berdurasi 43 dan 22 saat menunjukkan kekecohan antara pemain serta penyokong selain insiden seorang lelaki yang terjatuh akibat disepak.
Kejadian itu berlaku ketika perlawanan antara NAG FC dan KESA FC di padang sintetik Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.