fb fb fb fb fb

Kes anak Rafizi dicucuk jarum suntikan masih dalam siasatan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menjelaskan perkembangan siasatan insiden suntikan jarum membabitkan anak Rafizi. Foto- RTM

PUTRAJAYA, 25 Ogos - Siasatan menyeluruh sedang dijalankan berhubung insiden anak lelaki bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, dipercayai dicucuk jarum suntikan oleh dua individu tidak dikenali di Putrajaya pada 13 Ogos lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, proses siasatan serta rawatan mengambil masa dan semua pihak diminta memberi ruang agar siasatan dapat dijalankan dengan teliti.

Menurut beliau, perkara itu memerlukan kesabaran kerana siasatan perlu dilakukan secara berperingkat sebelum sebarang hasil dapat dimuktamadkan.

“Seperti yang disebut oleh Datuk Seri Rafizi, ia akan mengambil masa kerana membabitkan proses siasatan dan rawatan. Kita perlu membenarkan siasatan dijalankan sebaik mungkin untuk mendapatkan dapatan yang adil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Roche (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi inisiatif Cancer Care Closer to Community (CCC).

Kerjasama strategik awam-swasta itu bertujuan mendesentralisasi rawatan kanser termasuk rawatan susulan ke hospital-hospital selain pusat onkologi utama.

Menurut Dr. Dzulkefly, kerjasama itu memberi fokus kepada dua bidang utama iaitu pembangunan model dan modul penyampaian CCC serta pengukuhan kapasiti tenaga kerja melalui pendekatan Train-the-Trainer bagi jururawat onkologi.

Langkah tersebut diyakini akan memastikan rawatan kanser dapat dilaksanakan dengan selamat di samping melahirkan jururawat berkemahiran tinggi dalam bidang onkologi.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN