fb fb fb fb fb

Kotak Sara Rahmah disasar manfaatkan 200,000 penerima

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh melancarkan Kotak Sara Rahmah di Mydin USJ

SUBANG JAYA, 25 Ogos - Pelancaran Kotak Sara Rahmah oleh pasar raya Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) adalah selaras dengan inisiatif Payung Rahmah yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat yang bertujuan menyumbang barangan keperluan asas kepada individu dan keluarga yang memerlukan di seluruh negara.

Menerusi inisiatif tersebut, sebanyak 200,000 kotak disasar untuk dikumpul bermula 31 Ogos ini sehingga hujung tahun melalui pendekatan 'beli dan menderma' yang membolehkan orang awam membeli kotak berisi barangan keperluan asas untuk disumbangkan kepada golongan B40, ibu tunggal, warga emas serta Orang Kurang Upaya (OKU).

"Pertama, ia memberikan peluang kepada mereka yang tidak memerlukan bantuan kewangan untuk turut sama menyumbang kepada golongan yang memerlukan. Kedua, inisiatif ini juga melibatkan bantuan dalam bentuk barangan keluaran PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana) yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat kecil dan sederhana.

"Ini secara tidak langsung membantu merangsang ekonomi kerana dengan memilih produk tempatan daripada industri kecil dan sederhana, kita menyokong pertumbuhan ekonomi negara," katanya selepas Majlis Pelancaran Kotak Sara Rahmah di Mydin di sini, hari ini.

Tambah beliau, usaha tersebut turut menyokong serta melengkapkan inisiatif Rahmah yang lain seperti Menu Rahmah dan Bakul Rahmah yang menerima sambutan positif daripada masyarakat.

MASNIZA AWANG KECHIK