PUTRAJAYA, 25 Ogos - Semua pihak di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mematuhi ketetapan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang membenarkan kakitangan wanita hamil berusia 22 minggu kandungan, pulang lebih awal.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menegaskan, kementerian tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan tersebut.
“Saya mahu apapun menjadi SOP, menjadi peraturan dan regulation supaya dipatuhi. Saya tidak mahu sesiapa, terutama ketua jabatan atau penyelia, mengambil langkah berlawanan dengan peraturan. Saya sedar fasiliti kesihatan berdepan masalah kekurangan kakitangan, namun itu bukan alasan untuk melanggar peraturan ini,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KKM dan Roche (Malaysia) Sdn Bhd di Putrajaya.
Beliau menjelaskan, sekiranya terdapat kakitangan berasa ditindas, mereka boleh membuat laporan melalui saluran rasmi seperti MyHub.
Menteri Kesihatan turut mengingatkan bahawa sebarang pelanggaran akan diambil serius demi memastikan kebajikan kakitangan kesihatan terpelihara.