fb fb fb fb fb

Malaysia - Singapura meterai perjanjian penyelamatan kecemasan kapal selam

Foto FB Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian kerjasama penyelamatan kecemasan kapal selam sebagai usaha memperkukuh hubungan pertahanan dua hala.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama itu memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang insiden melibatkan operasi kapal selam.

"Singapura adalah jiran terdekat kita yang mempunyai keupayaan kapal selam. Kerjasama ini membolehkan bantuan segera diberikan sekiranya berlaku kecemasan tanpa perlu menunggu bantuan dari negara yang lebih jauh," katanya dalam sidang media selepas lawatan rasmi dan kunjungan hormat Menteri Pertahanan Singapura, Chan Chun Sing di Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Pemeteraian Pengaturan Antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Singapura Bagi Kerjasama dan Sokongan Penyelamatan Kapal Selam itu disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Laut Singapura (TLRS), Laksamana Madya Sean Wat dengan disaksikan oleh Menteri Pertahanan kedua-dua negara.

Menurut Mohamed Khaled, kedua-dua pihak turut berbincang mengenai keselamatan infrastruktur bawah laut, cabaran keselamatan siber serta penggunaan teknologi baharu termasuk dron dan UAV.

Malaysia dan Singapura juga bersetuju untuk memperkukuh kesiapsiagaan melalui pertukaran data teknikal, penyelarasan prosedur operasi dan koordinasi bersama di kawasan liputan strategik seperti Laut China Selatan, Selat Singapura dan Selat Melaka.

Markas Angkatan Kapal Selam TLDM dan Markas Armada TLRS ditetapkan sebagai agensi utama dalam pelaksanaan kerjasama ini.

Mengulas mengenai peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Mohamed Khaled berkata, kerjasama dalam pertahanan serantau akan terus diperkukuh melalui platform Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, Oktober ini.

Singapura dalam pada itu menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Malaysia meredakan ketegangan sempadan di antara Thailand dengan Kemboja, sekali gus mengiktiraf peranan aktif Kuala Lumpur sebagai pemudah cara dialog dan keamanan serantau.

Pertemuan tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohd Nizam Jaafar dan delegasi dari Singapura.

Lawatan rasmi pertama Chan Chun Sing ke Malaysia sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan menandakan komitmen kedua-dua negara untuk terus memperkukuh hubungan pertahanan dan kestabilan serantau.

"Malaysia percaya dengan kerjasama erat ini, ASEAN akan terus kekal aman, stabil dan bersedia menghadapi apa jua cabaran keselamatan masa depan," ujarnya.

MASNIZA AWANG KECHIK