KUALA LUMPUR, 1 Disember - Empat individu, termasuk pelakon dan aktivis Rafidah Ibrahim yang didakwa mencetuskan kekecohan pada majlis pecah tanah Kampung Sungai Baru, telah diberi jaminan polis semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan berhubung kes itu akan diteruskan walaupun semua suspek telah dibebaskan.
Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Kita menahan mereka pada awalnya sebagai langkah pencegahan sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah kerana kita menjangkakan kemungkinan insiden yang tidak diingini. Adalah lebih baik untuk mencegah daripada membiarkannya berlaku. Oleh itu, tindakan ini telah diambil dan jaminan telah diberikan semalam.
“Apa-apa sahaja program yang diadakan dalam negara kita, sama ada melibatkan isu ketenteraman atau keselamatan awam tidak kira sama ada dianjurkan oleh kerajaan, pihak lain, NGO atau sesiapa sahaja kita sentiasa mengutamakan keselamatan dan ketenteraman awam.
"Sekiranya terdapat risikan atau maklumat yang kita terima yang boleh memberi kesan negatif terhadap perkara yang saya sebutkan tadi, saya tidak akan mempertimbangkannya," katanya selepas Program Penyerahan Sumbangan Masih Ada Yang Sayang di sini, hari ini.
Terdahulu, keempat-empat individu itu dipercayai menjadi perancang utama sebuah perhimpunan yang diadakan selepas timbulnya seruan mengajak orang ramai turun berprotes pada majlis tersebut yang dikaitkan dengan Rafidah Ibrahim.
