KUALA LUMPUR, 1 Disember - Stok vaksin influenza dijangka mencukupi sehingga Februari tahun hadapan. Kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Menurut beliau, ia berdasarkan maklum balas yang diterima daripada Pemegang Pendaftaran Produk (PRH) yang dilaksana sehingga 24 Oktober lepas.
“Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga telah melaksanakan mekanisme Pelaporan Gangguan dan Pemberhentian Bekalan Ubat secara sukarela mulai 1 Ogos 2025.
“Semakan melalui sistem Pelaporan sehingga 18 November 2025 mendapati tiada pelaporan rasmi diterima berkaitan gangguan bekalan vaksin influenza sehingga ke tarikh ini,” jelasnya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.
Tambah beliau, fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan mempunyai 4,044 dos untuk suntikan petugas kesihatan dan 2,881 dos untuk warga emas setakat 10 November lepas.
Datuk Lukanisman menjelaskan terdapat tujuh vaksin influenza berasaskan virus kurang aktif strain influenza A (H3N2) yang didaftarkan di Malaysia, termasuk Vaxigrip Influenza Vaccine, Vaxigrip Tetra, Influvac Tetra, Influvac Suspension for Injection, serta tiga produk SKYCellflu dalam bentuk trivalen dan kuadrivalen.
“Sejak awal 2025 hingga kini, sebanyak 2,609,235 dos telah diimport ke Malaysia, termasuk lima penghantaran berjumlah 429,130 dos yang tiba pada 25 dan 30 November serta 9 Disember 2025,” katanya bagi menjawab pertanyaan Senator Dr A. Lingeshwaran di Parlimen.
