fb fb fb fb fb

Siasat segera pekerja Bangladesh dakwa ditipu tak diberi kerja-Azalina

Video tular kejadian 171 pekerja Bangladesh yang berjalan dalam barisan di jalan raya di Pengerang, Johor, semalam.

KUALA LUMPUR, 26 Disember- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Azalina Othman Said menggesa siasatan segera dilakukan terhadap sindiket yang membawa 171 warga Bangladesh ke Malaysia untuk pekerjaan yang tidak wujud.

Beliau berkata syarikat terbabit perlu dikenakan tindakan dan siasatan perlu dilakukan untuk mengenalpasti bagaimana pekerja yang sah dieksploitasi dengan janji palsu untuk bekerja di negara ini.

“Ini adalah jenayah terhadap kemanusiaan. Tiada toleransi terhadap pelanggaran hak asasi manusia termasuk di sektor perniagaan. Ini adalah masanya untuk mengambil tindakan terhadap perniagaan yang terbabit,” katanya di laman sosial X.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berterima kasih kepada Menteri Sumber Manusia Steven Sim kerana membantu pekerja asing tersebut.

Steven memaklumkan kementeriannya akan memanggil agensi yang membawa mereka masuk dan majikan yang tertera pada dokumentasi mereka untuk siasatan lanjut minggu ini.

Katanya, walaupun kes itu di luar bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia, pihaknya membantu pekerja Bangladesh tersebut atas dasar kemanusiaan.

Beliau juga merancang untuk bertemu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk membincangkan dan menambah baik dasar berkaitan pengambilan pekerja asing.

Semalam tular video kejadian polis menahan 171 pekerja Bangladesh yang berjalan dalam barisan di jalan raya di Pengerang, Johor.

Ketua Polis Kota Tinggi, Hussin Zamora berkata, kumpulan warga asing itu berjalan kaki di kawasan depan simpang masuk Teluk Ramunia Bayu Damai untuk ke Balai Polis Bayu Damai membuat laporan pada pagi Rabu lalu kerana mendakwa ejen tidak memberikan pekerjaan.

ARTIKEL BERKAITAN 
171 warga asing ditahan polis di Kota Tinggi

ZEHRA BINTI ZAMBRI