fb fb fb fb fb

171 warga asing ditahan polis di Kota Tinggi

Tangkap layar video tular warga asing yang berjalan beramai-ramai di Kota Tinggi/Video Tular

KOTA TINGGI, 25 Disember - Polis menahan ratusan warga asing yang berjalan kaki secara berkumpulan di Pangerang pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora mengesahkan kejadian itu berkata seramai 171 warga Bangladesh ditahan susulan laporan polis dibuat Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Sepasukan polis dihantar ke lokasi kejadian bagi membuat pemeriksaan lanjut dan mendapati ratusan warga asing Bangladesh dikesan berjalan kaki di kawasan hadapan simpang masuk, Teluk Ramunia Bayu Damai, di sini.

"Warga asing tersebut hendak ke Balai Polis Bayu Damai untuk membuat laporan polis kerana ejen pekerjaan tidak memberikan mereka pekerjaan.

"Mereka bukan pendatang asing tanpa izin (PATI) mereka memasuki negara secara sah, namun ejen pekerjaan mereka masih belum menawarkan pekerjaan setelah berada dalam negara dalam tempoh tiga hingga enam bulan ini," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, kesemua warga asing tersebut berusia 19 tahun hingga 43 tahun ditahan untuk siasatan lanjut di atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Terdahulu, tular sebuah video durasi 1 minit 33 saat yang menunjukkan ratusan warga asing berjalan kaki beramai-beramai dalam barisan yang panjang sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai.

Kesemua warga asing itu dihantar ke Jabtan Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru untuk siasatan lanjut.

GRACE AISYAH KEDAYAN