fb fb fb fb fb

Mayat dalam kereta 'car boot sale' dipercayai meninggal lebih 5 hari

Mayat lelaki yang ditemui di dalam sebuah kereta yang diletakkan berhampiran kawasan Car Boot Sale Damansara semalam dipercayai telah meninggal lebih lima hari/FOTO Polis Petaling Jaya

 PETALING JAYA, 25 Disember - Polis mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan satu mayat dalam sebuah kereta di Kota Damansara, di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, mangsa adalah seorang lelaki yang dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

"Pihak polis menerima laporan pada 12.04 petang tengah hari di kawasan parkir kenderaan, Jalan Teknologi 3/9 Kota Damansara.

"Si mati dipercayai telah meninggal dunia lebih dari lima hari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu kata beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat, melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Jelasnya, mereka yang mempunyai maklumat boleh hadir ke balai polis berdekatan atau berhubung terus dengan Ketua Polis Balai Kota Damansara, Asisten Superintenden Mohd Nasir Mustapha di talian 01132052062.

Terdahulu, pengunjung serta peniaga tapak jualan but kereta (car boot sale) Damansara, Kota Damansara digemparkan dengan penemuan mayat seorang lelaki di dalam sebuah kereta.

Orang ramai yang kebetulan melalui kawasan itu menghidu berbau busuk dan mendapati mayat mangsa dalam keadaan mengembung.

Turut ditemui dalam kereta satu nota dipercayai ditinggalkan mangsa yang meminta orang ramai menghubungi ahli keluarganya.

"Tolong hubungi abang atau kakak saya," menurut nota berkenaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN