fb fb fb fb fb

Polis sedang siasat kes bunuh babitkan pergaduhan

FOTO HIASAN

PENAMPANG, 24 Disember - Kes kematian seorang lelaki warga asing berumur 29 tahun yang disyaki dibunuh dalam satu pergaduhan di sini sedang dalam siasatan.

Ketua Polis Daerah Penampang Superintenden Sammy Newton dalam satu kenyataan berkata pagi ini, polis menerima aduan daripada orang awam mengenai satu kejadian pergaduhan melibatkan beberapa individu lelaki menggunakan parang di Jalan Penampang-Kota Kinabalu.

Beliau berkata siasatan polis di tempat kejadian mendapati seorang lelaki warga asing terbaring atas jalan dalam keadaan berlumuran darah dengan beberapa kesan tetakan dan tikaman pada tubuh badan mangsa.

Sammy berkata mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth.

"Kes masih dalam siasatan pihak polis dan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan," menurut kenyataan itu.

Orang ramai diminta supaya tidak menyebarkan gambar di tempat kejadian dan memuat naik atau menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih di media sosial yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam.

TETITIA YUSOFF