fb fb fb fb fb

Banjir di tiga negeri di Pantai Timur semakin buruk

Anggota bomba giat melaksanakan operasi menyelamatkan penduduk terjejas banjir

KUALA LUMPUR, 26 Disember - Situasi banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang bertambah buruk.

Jumlah penduduk terjejas banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini meningkat berbanding malam tadi.

Di Kelantan jumlah penduduk terjejas banjir bertambah kepada 12,572 orang daripada 3,860 keluarga setakat pukul 8.00 pagi tadi berbanding 9,721 orang daripada 2,962 malam tadi.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan, Machang dan Kota Bharu menjadi jajahan terbaru terjejas banjir selepas Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Gua Musang dan Kuala Krai serta kesemua perduduk terjejas sedang berlindung di 82 PPS di tujuh jajahan itu.

"Enam PPS dibuka di Machang menempatkan 462 orang daripada 167 keluarga manakala sebuah PPS di Kota Bharu memberi perlindungan kepada 25 orang daripada tujuh keluarga.

"Di Pasir Mas, 24 PPS beroperasi menempatkan 7,210 orang daripada 2,334 keluarga, 19 PPS di Tanah Merah (1,783 orang daripada 546 keluarga), dua PPS di Jeli (255 orang daripada 75 keluarga), lima PPS di Gua Musang (271 orang daripada 61 keluarga), 25 PPS di Kuala Krai (2,566 orang daripada 670 keluarga),"

Sementara itu, di Terengganu jumlah penduduk terjejas banjir meningkat kepada kepada 8,808 orang daripada 2,402 keluarga setakat 8.00 pagi, berbanding 5,170 orang daripada 1,382 keluarga malam tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), daerah Hulu Terengganu paling terjejas dengan 3,005 orang daripada 874 keluarga ditempatkan di 34 PPS, diikuti Dungun dengan 1,725 orang daripada 444 keluarga di 30 PPS.

Di Kemaman, 964 orang daripada 290 keluarga ditempatkan di 10 PPS, Besut, (1,609 mangsa daripada 364 keluarga) di 24 PPS, Setiu pula mencatatkan 1,432 orang daripada 410 keluarga berlindung di 30 PPS manakala di Marang 48 orang daripada 12 keluarga masih berada di dua PPS.

"Kuala Nerus menjadi daerah terbaru dilanda banjir gelombang ketiga di negeri itu dengan 25 mangsa daripada lapan keluarga dipindahkan ke tiga PPS malam tadi," kata kenyataan itu.

Manakala di Pahang, jumlah penduduk terjejas banjir banjir terus meningkat kepada 700 orang daripada 171 keluarga yang ditempatkan di 15 PPS pagi ini berbanding 600 orang banjir daripada 141 keluarga di 13 PPS semalam.

Menurut Sekretariat JPBN Pahang, 10 PPS kini beroperasi di Raub bagi menempatkan 465 orang daripada 119 keluarga manakala 235 individu daripada 52 keluarga berlindung di lima PPS di Lipis

TETITIA YUSOFF