KUANTAN, 22 April- Bekas Penerbit Rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pahang, Shukri Zakaria, 67 tahun, disahkan meninggal dunia jam 8.30 pagi tadi waktu tempatan di Madinah.
Allahyarham disahkan mengalami serangan jantung sehari sebelum dijadualkan pulang ke tanah air iaitu semalam.
Menurut anak Allahyarham, Suhaili Shukri, arwah bapanya selesai menunaikan umrah bersama lima lagi ahli keluarga termasuk isteri, Rohana Abdullah namun tiga ahli keluarga sudah berlepas pulang ke tanah air semalam.
Berita kehilangan allahyarham dimaklumkan ibu dan kakaknya, Shazwanis Shukri, selepas Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Al Zahra, Madinah.
Allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan Al-Baqi, Madinah selepas waktu Zohor Madinah.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, lima anak dan tiga cucu.
Allahyarham pernah berkhidmat sebagai wartawan, pengulas sukan dan juruhebah di RTM Pahang.