fb fb fb fb fb

Sebat patung menyerupai PM ketika perhimpunan, dua lelaki ditahan

Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Ketua Polis Negara / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden membawa dan menyebat patung menyerupai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perhimpunan di ibu negara pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kedua-dua individu masing-masing berusia 21 dan 47 tahun itu ditahan dalam dua siri tangkapan yang dijalankan hari ini.

Turut dirampas beberapa peralatan komunikasi yang dipercayai digunakan untuk memuat naik serta menyebarkan kandungan berkaitan insiden berkenaan di media sosial.

“Perbuatan tersebut telah dirakam dan dimuat naik oleh pihak-pihak tertentu.

Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek akan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Datuk Seri Mohd Khalid turut menasihatkan orang ramai agar menggunakan media sosial secara berhemah dan tidak menyalahgunakannya untuk menyebar kandungan berunsur hasutan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” tegasnya.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN