fb fb fb fb fb

ABIM puji peranan Malaysia jayakan gencatan senjata Thailand-Kemboja

Foto Facebook Angkatan Belia Islam Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 Julai - Gencatan senjata serta-merta antara Thailand dan Kemboja yang dicapai melalui Mesyuarat Khas Thailand–Kemboja di Putrajaya membuktikan peranan proaktif Malaysia dalam mengembalikan kestabilan serantau menerusi rundingan diplomatik yang tuntas, berprinsip dan inklusif.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan, kejayaan ini menunjukkan bahawa ASEAN kekal relevan sebagai platform penyelesaian konflik serantau.

Menurut Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, langkah berkenaan suatu perkembangan positif dalam usaha menghentikan ketegangan yang telah meragut nyawa dan menggugat kestabilan.

"ABIM merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertindak selaku hos, pendamai dan Pengerusi ASEAN, serta turut menjadi sosok penting dalam Mesyuarat Khas ini.

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN berjaya menyatukan kekuatan politik serantau dengan sokongan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China," katanya.

ABIM turut menyeru semua pihak agar mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata dan menghentikan segala bentuk provokasi bersenjata bermula tengah malam ini.

Malah, ABIM juga mencadangkan agar ASEAN menubuhkan pasukan pemantau bebas dan berkecuali bagi memastikan pelaksanaan gencatan senjata berjalan lancar.

"Rakyat Thailand dan Kemboja, termasuk komuniti digital kedua-dua negara diseru untuk menahan diri daripada menyebar provokasi, naratif kebencian, atau tuduhan liar di platform media sosial.

Sebagai manifestasi solidariti serantau, bantuan kemanusiaan ASEAN juga wajar disalurkan segera kepada semua yang terkesan, khususnya mangsa perpindahan, keluarga yang kehilangan tempat tinggal, serta mereka yang terkorban akibat konflik," ujarnya lagi.

Sebagai gerakan masyarakat Madani, ABIM menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan rangkaian masyarakat sivil ASEAN ke arah memperkukuh budaya damai dan menyantuni mangsa konflik.

Antara cadangan jangka panjang termasuklah penubuhan Sidang Masyarakat Madani ASEAN untuk Keamanan Serantau dan pelaksanaan Program Pendidikan Keamanan ASEAN khususnya untuk komuniti sempadan dan belia serantau.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN