KUALA LUMPUR, 10 November- Tiada sebarang kompaun dikeluarkan membabitkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023, setakat ini.
Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, kesedaran pengguna yang lebih mengambil berat mengenai senarai harga barangan menjadikan mereka lebih berhati-hati dan telus dalam membuat urus niaga.
"Kita telah mengadakan pemeriksaan ke atas dua sektor iaitu sektor borong dan sektor runcit. KPDN telah membuat pemeriksaan terhadap 626 premis semalam dan kesemuanya mematuhi undang-undang yang ditetapkan," katanya dalam rancangan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini.
Tambahnya, selain melakukan pemantauan secara berkala dan mengejut, aduan daripada pelanggan turut membantu KPDN menangani isu ketidakpatuhan peniaga.
Pihaknya menerima 35,709 aduan kepenggunaan bermula Januari hingga 31 Oktober lalu.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 29,125 aduan yang diterima sepanjang tahun lalu.