fb fb fb fb fb

Shehbaz seru perkukuh kerjasama perniagaan, pelaburan bersama Malaysia

Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif menyeru sektor swasta di Malaysia dan Pakistan terus memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan serta kerjasama dua hala yang lebih dinamik bagi memacu pertumbuhan ekonomi serantau.

Beliau berkata Malaysia dan Pakistan mempunyai hubungan erat sejak sekian lama, namun perlu memperluas kerjasama dalam bidang pelaburan langsung asing (FDI), penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perdagangan dua hala.

"Saya yakin bahawa usahawan Malaysia sememangnya cemerlang dalam bidang teknologi maklumat, pembuatan, barangan elektronik dan sudah tentu dalam sektor minyak, gas, kuprum serta banyak lagi bidang penting lain.

"Dalam hal ini, Pakistan dan Malaysia berpotensi untuk menggabungkan sumber daya mereka dan mewujudkan pasaran baharu, bukan sahaja antara kedua-dua negara, malah sebagai pembekal dan pengeksport berpotensi ke negara ketiga", katanya semasa berucap dalam Persidangan Perniagaan dan Pelaburan Malaysia-Pakistan di ibu negara.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta delegasi perniagaan dan pelaburan Malaysia-Pakistan.

Sementara itu, sektor pelancongan turut diberi fokus dengan mencadangkan agar kedua-dua negara bekerjasama dalam sektor berkenaan serta memanfaatkan kepakaran Malaysia dalam industri tersebut.

Katanya, Pakistan mempunyai destinasi pelancongan bertaraf dunia yang boleh dipromosikan secara bersama.

Menerusi kepakaran tenaga kerja mahir pula, Shehbaz berkata ia membuka peluang kepada pelabur Malaysia, memandangkan kos buruh yang kompetitif. Manakala sektor swasta perlu menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi dalam menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif.

ROSLINA BINTI DIN