PENDANG, 6 Oktober - 624 hektar kawasan tanaman padi dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Wilayah Tiga di sini, ditenggelami banjir berikutan hujan lebat Jumaat lepas.
Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata ia menyebabkan kerugian dianggar mencecah kira-kira RM4.6 juta.
"Nilai ini berdasarkan kepada purata kiraan hasil lima tan padi bagi setiap hektar sawah.
"Hampir keseluruhan tanaman yang sedang menunggu masa untuk dituai musnah," jelas beliau.
Datuk Dr Ismail memaklumkan, bancian kerugian akan dilaksana selepas ini bagi urusan pampasan kepada pesawah terjejas.
Tambah beliau, masalah banjir di kawasan berkenaan akan dapat ditangani selepas projek rancangan tebatan banjir (RTB) Sungai Anak Bukit dan Sungai Pendang siap kelak.
"Ia dijangka mampu menampung hingga 80 peratus aliran air dari kawasan hulu, " katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan tanaman padi yang ditenggelami banjir di Kampung Permatang Limau, di sini.