PULAU PINANG, 6 Oktober - 'In Person With Doc Zam' yang julung kali diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) dilihat sebagai medium untuk memperkukuh hubungan antara pelajar dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, ia membuka ruang kepada mahasiswa untuk berkongsi pandangan, soalan serta mendapatkan inspirasi selain menekankan kepentingan dalam membina keseimbangan antara pencapaian akademik bertaraf global dan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.
"Kita mahu graduan kita ‘menggapai langit’ dengan ilmu pengetahuan global, tetapi dalam masa yang sama perlu ‘mengakar ke bumi’ dengan memahami dan menyumbang kembali
kepada realiti masyarakat.
"Selain itu pelajar dinasihatkan supaya tidak gentar menghadapi cabaran dan menjadikan kegagalan sebagai batu loncatan menuju kejayaan.
"Orang yang paling berjaya dalam hidup ialah mereka yang belajar daripada kegagalan; jadikan setiap cabaran sebagai landasan untuk menjadi lebih baik lagi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada sesi khas 'In Person With Doc Zam' yang diadakan di Kampus Induk USM di sini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; menjalankan fungsi Pengarah Lembaga Gabenor Universiti, Profesor Emeritus Datuk Dr. Hassan Said; Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed; serta barisan Timbalan Naib Canselor dan pengurusan tertinggi USM.
Lebih 3,000 pelajar baharu USM berpeluang bertemu dan berinteraksi secara langsung dengan Datuk Seri Dr. Zambry pada sesi tersebut.
Sesi tersebut turut menyentuh nilai kemanusiaan sejagat melalui perkongsian pengalaman misi bantuan 'Freedom Flotilla' ke Gaza baru-baru ini.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata penganjuran sesi khas berkenaan merupakan peluang terbaik bagi pelajar untuk mengenali pemimpin negara dengan lebih dekat serta membina keyakinan diri melalui perkongsian pengalaman secara langsung.
"Program ini memberi peluang kepada kita mendengar suara pelajar secara langsung dan memahami aspirasi generasi baharu. USM sentiasa menitikberatkan kesejahteraan mahasiswa kerana mereka adalah nadi universiti dan bakal pemimpin masa hadapan," katanya.
Pelbagai sumbangan khas kepada pelajar memerlukan turut disampaikan termasuk bantuan Yayasan Perkasa Siswa berjumlah RM1,000 setiap seorang kepada 15 pelajar kurang berkemampuan serta 50 komputer riba bernilai RM100,000 yang disediakan untuk pelajar kumpulan B40, pelajar kurang upaya (OKU) dan siswa sulung.