fb fb fb fb fb

KPM jamin pantau, percepat projek pembangunan lewat

INFOGRAFIK FB Kementrian Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan akan terus memantau dan mempercepat pelaksanaan projek pembangunan pendidikan yang dilaporkan lewat siap di seluruh negara, seperti dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Menurut laporan itu, sehingga 31 Disember 2024, sebanyak 46 projek pembangunan di bawah KPM berstatus lewat (sakit), iaitu mewakili 2.3 peratus daripada keseluruhan 2,040 projek yang dilaksanakan di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Bagi menangani isu berkenaan, KPM melaksanakan pemantauan rapi di tapak projek serta melalui mekanisme penyelarasan pelaksanaan pembangunan negara. Sesi libat urus juga diadakan secara berkala bersama kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penyedia utiliti bagi memastikan kelancaran projek.

Kementerian itu menerusi satu kenyataan memaklumkan, setakat ini, 17 daripada 46 projek berstatus lewat yang dilaporkan LKAN telah berjaya disiapkan, manakala 19 lagi berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan melibatkan tiga projek Dahulu Jadual (DJ), lapan projek Ikut Jadual (IJ), tiga projek Lewat Jadual (LJ) dan lima projek yang sedang melalui proses tender semula.

"Baki 10 projek masih kekal berstatus lewat (sakit) dan sedang diberi tumpuan bagi memastikan ia dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan," katanya.

KPM menegaskan, usaha berterusan akan dilakukan agar setiap projek pembangunan pendidikan dapat dilaksanakan dengan baik serta memberi manfaat kepada masyarakat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE