PASIR MAS, 10 Februari - Taktik sindiket penyeludupan membawa 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar menggunakan bas persiaran tumpas apabila mereka dicekup pihak berkuasa.
PATI berusia 15 hingga 30 tahun ditahan 12.30 tengah malam kelmarin oleh sepasukan pegawai dan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas mengejar bas terbabit sejauh 30 kilometer.
Turut ditahan dua individu warga tempatan berusia 30-an termasuk pemandu bas dipercayai tekong darat.
Menurut Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Mannadzar Nasib, pihaknya mengesan sebuah bas persiaran dan kereta yang disyaki tonto di Pohon Tanjung.
Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bas dan kereta terbabit memecut laju dan cuba melanggar anggotanya.
"Sebaik tiba di Jalan Baroh Pial menghala Tanah Merah, kereta terbabit berhenti, bagaimanapun ketika pemeriksaan dibuat pemandu kereta cuba melanggar polis menyebabkan pihaknya terpaksa melepaskan dua das tembakan.
Pemandu kereta terus memecut laju dan terbabas sebelum melarikan diri, manakala bas yang dinaiki PATI berjaya dipintas di hadapan sebuah pasar raya di Tanah Merah," kata Superintendan Mannadzar pada sidang media di sini, hari ini.
Sindiket dikatakan menyewa bas untuk membawa PATI ke ibu negara dan memasuki negara ini menggunakan pengkalan haram di Pohon Tanjung.
Bas yang dirampas diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya.