fb fb fb fb fb

Mohd Shafiq dilantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

KUALA LUMPUR, 10 Februari - Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata pelantikan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mohd Shafiq, 58, yang sebelum ini Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan menggantikan Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman yang bersara wajib pada 16 Januari lepas.

Menurut Mohd Zuki, pelantikan sebagai KPPA dibuat berdasarkan pengalaman luas Mohd Shafiq dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan.

"Saya yakin dengan pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki oleh beliau mampu menggalas amanah dan tanggungjawab dalam menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Kerajaan.

"Kerajaan juga merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman atas segala khidmat bakti beliau sepanjang perkhidmatan sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shafiq berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Meiji, Jepun.

Beliau telah berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam selama 30 tahun dengan jawatan pertama yang disandang sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Istiadat, Jabatan Perdana Menteri pada 1 Disember 1992.

Media Baharu