fb fb fb fb fb

Sesi perbahasan: Isu berkaitan PRN jadi tumpuan beberapa Ahli Dewan

KUALA LUMPUR, 13 Mac - Dewan Rakyat hari ini meneruskan sesi perbahasan Belanjawan 2023 peringkat Jawatankuasa.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin mengusulkan supaya peruntukan khas disediakan bagi penyelenggaraan kuarters kerajaan persekutuan di seluruh negara.

Peruntukan itu sekurang-kurangnya berjumlah RM2.5 bilion setahun untuk tempoh 2023 hingga 2025.

"Ini berkaitan dengan keperluan mendesak untuk kerajaan membuat penyelenggaraan ke atas kuaters kakitangan awam khususnya di putrajaya. Sebagai contoh ada rumah yang telah lama kosong tetapi tidak dapat diduduki oleh penghuni baharu sebab belum dibaiki. Apa yang dikhuatiri jika keadaan ini berterusan dan berlarutan terlalu lama keadaan akan menjadi semakin teruk dan kos untuk membaik pulih akan menjadi jauh lebih tinggi, yang mana ianya akan memberi implikasi kewangan yang lebih besar kapada kerajaan," kata Dr Radzi ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat.

Dr Radzi juga meminta agar sejumlah besar peruntukan disediakan bagi membaik pulih dan menyelenggara infrastruktur awam di Putrajaya.

Ini memandangkan banyak infrastuktur dan kemudahan awam di kawasan pentadbiran dan pelancongan itu berada dalam keadaan uzur.

Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda pula membangkitkan mengenai program pembasmian kemiskinan terutama di Kudat, Sabah.

Antaranya, penyusunan semula masyarakat melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM750 juta.

Peruntukan itu turut melibatkan program penyusunan semula perumahan dan perkampungan di pesisir pantai di Kudat yang disifatkannya, sangat diperlukan.

"Perkara ini memang sangat mendesak. Sebab perkampungan seperti Tanjung Kapur, Kampung Perpaduan Ria, Kampung Muhibah manakala Kampung Pantai Bahagia terlalu padat. Rumah-rumah yang dibuat yang akhirnya mendatangkan bencana, seperti tahun lalu berlaku dua kebakaran besar yang melibatkan 120 rumah yang pertama dan kedua 20 buah rumah," kata Verdon Bahanda.

Sementara itu, wakil Mersing, Muhammad Islahuddin Abas membangkitkan mengenai projek pembinaan tiga pam air dan rumah pam di Sungai Mersing dengan peruntukan RM10.5 juta.

Beliau berharap projek itu dapat disegerakan bagi mengatasi bencana banjir di daerah terbabit.

Dalam sesi sama, beberapa ahli dewan turut menumpukan beberapa isu yang berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN), antaranya berkaitan mengundi secara berpusat dan PRN diadakan pada hari cuti atau pada Sabtu.

"Adakah dapat diadakan dilaksana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) ini antara lain supaya pengundi-pengundi dapat buang undi di satu tempat di negara Eropah supaya tidak terlepas hak mengundi seperti seperti pusat vaksin, boleh mengundi dengan cara boleh mengundi dengan cara begitu," menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefli Ahmad.

(Dr Dzulkefli di Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan)

"Membolehkan semua dalam kalangan pengundi dapat balik. Tidak mahu seperti di Tioman, 50 peratus pengundi sahaja, berikan hak terutama hendak pulang ke negeri yang jauh," kata Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad.

Media Baharu