KUALA LUMPUR, 13 Mac- Keyakinan pelabur asing yang kembali stabil menjadikan Malaysia destinasi pilihan untuk pelaburan berimpak tinggi.
Keyakinan itu terserlah bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila pelbagai pendekatan dilaksanakan bagi menjana ekonomi berteraskan konsep Malaysia Madani.
Ikuti laporan Vimala Kasturi Verasamy, mengimbas kembali 100 hari Kerajaan Perpaduan:
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan mahu memulihkan keyakinan pelabur dan pelabur asing terhadap ekonomi negara.
Ini seiring dengan salah satu Teras Strategik Utama Malaysia Madani iaitu Membina Semula Ekonomi.
Dasar yang jelas daripada Kerajaan Perpaduan ini telah membawa pengeluar kenderaan paling bernilai di dunia, TESLA untuk membuka ibu pejabat di Malaysia.
Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah meluluskan permohonan syarikat itu untuk mengimport Kenderaan Bateri Elektrik (BEV) ke Malaysia.
Selepas itu, syarikat gergasi teknologi, Amazon Web Service (AWS) telah membuat keputusan untuk melabur sebanyak RM25.5 bilion di Malaysia.
(syarikat gergasi teknologi, AWS telah membuat keputusan untuk melabur sebanyak RM25.5
bilion di Malaysia)
Ini membuktikan kepercayaan asas ekonomi dan persekitaran perniagaan dilihat kondusif di negara ini.
Bagi menjamin ekonomi yang telus dan bertanggungjawab pula, Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal akan dibentangkan ke Parlimen, tahun ini.
Kerajaan bertekad untuk mencapai tahap defisit fiskal yang mampan dengan sasaran 3.2% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025, tertakluk pada pertumbuhan ekonomi yang terus kukuh.
Tahun lepas, Malaysia meluluskan pelaburan berjumlah RM264.6 bilion, merangkumi 4,454 projek dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama.
Pelaburan tahunan itu adalah yang kedua tertinggi dalam sejarah, berbanding 2021.
Berteraskan enam nilai teras Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, keyakinan, nilai hormat dan ihsan yang menggabungkan komponen sosial dengan pembangunan ekonomi, negara terus berada di landasan pertumbuhan mampan.