fb fb fb fb fb

Serangan gajah: Pekebun tidak sempat tuai hasil untuk musim tengkujuh

Foto RTM

GUA MUSANG, 18 Disember - Pekebun di Kampung Batu 5 dan Batu 6, di sini menanggung kerugian selepas tanaman diusahakan untuk jualan musim tengkujuh dimusnahkan tiga ekor gajah liar sejak minggu lalu.

Tan Chai Feng, pekebun pisang mengalami kerugian selepas tanamannya yang telah berbuah dimusnahkan haiwan terbabit.

"Tanaman (pisang) ini memang saya tanam untuk jualan pada musim tengkujuh. Pisang sudah berbuah, cuma belum matang, tapi malangnya pokok telah ditumbangkan gajah.

"Selain kerugian, isu keselamatan yang lebih penting kerana gajah tidak takutkan manusia," jelas Chai Heng.

Menurutnya, serangan gajah pada awal pagi turut menjejaskan pendapatan penoreh getah yang tidak turun ke kebun kerana ketakutan.

Seorang lagi pekebun, Tuan Mustapha Tuan Soh memberitahu, kejadian terbaharu minggu ini telah memusnahkan anak sawit yang baru ditanam.

"300 daripada 400 anak pokok yang ditanam dirosakkan gajah. Pada saya, operasi menangkap haiwan ini perlu dilakukan untuk mengelakkan kejadian berulang," jelasnya.

Penduduk telah membuat laporan polis serta aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan berharap tindakan segera dapat dilakukan.

"Musim tengkujuh pendapatan tidak begitu rancak seperti waktu biasa. Jadi apabila ada serangan gajah, makin banyaklah kerugian ditanggung.

"Jadi kami mengharapkan tindakan segera dapat diambil untuk memastikan keselamatan penduduk terjamin dan dapat melakukan pekerjaan seharian," jelas Tan Guan Cheng.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada pekebun berkaitan serangan gajah di kebun.

Pihaknya telah menyerahkan kepada Perhilitan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN