KUANTAN, 18 Disember - Seorang warden Penjara Penor ditemukan meninggal dunia selepas pulang memeriksa keadaan rumahnya yang dinaiki air di Taman Seri Inderapura, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Ashari Abu Samah mengesahkan mangsa Muhammad Hariri Kamarudin, 26 tahun yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa, dilapor keluar bersendirian untuk melihat keadaan rumah keluarganya yang dinaiki air, kira-kira pukul 1 pagi.
"Bapanya telah menghubungi mangsa selepas mendapati anaknya tidak kembali semula ke PPS sehingga pukul 10 pagi sebelum pulang ke rumah untuk mencari Muhammad Hariri.
"Mangsa ditemukan di ruang tamu yang dipenuhi air dan dibawa ke PPS menggunakan kenderaan sendiri dengan bantuan orang awam.
"Polis kemudian ke PPS pada 11 pagi sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat,"katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.