KUALA LUMPUR, 24 Mac- Malaysia menyertai masyarakat antarabangsa mengecam serangan keganasan di Persekutuan Rusia, selain mengulangi pendirian menolak semua bentuk keganasan yang menggugat keamanan dan keselamatan mana-mana negara.
Wisma Putra dalam satu kenyataan menekankan semula pendirian tegas Malaysia, menentang keganasan dan ekstremisme dalam segala bentuk dan manifestasi serta menyeru agar pelaku serangan keji tersebut segera dibawa ke muka pengadilan.
"Serangan keganasan di Moscow pada hari Jumaat lalu, ia amat menyedihkan.
"Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, keganasan tiada tempat dalam dunia bertamadun ini", menurut kenyataan itu.
Kementerian Luar, melalui Kedutaan Besar dan pejabatnya di seluruh dunia, terus komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara serta memperjuangkan dialog dan penyelesaian konflik secara aman.
Sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh dan lebih 145 orang cedera dalam insiden keganasan di dewan konsert, Crocus City Hall, pinggir Moscow, Rusia pada Jumaat lalu.