IPOH, 31 Ogos - Seorang wanita ditahan susulan tindakannya yang menaiki pentas utama ketika acara sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak, pagi tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden berlaku kira-kira pukul 8.20 pagi ketika Lagu Kebesaran Negeri Perak, Terang Bulan sedang berkumandang.
"Suspek melalui bahagian tepi pentas dan mendekati Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebelum berjaya ditahan oleh anggota keselamatan yang sedang bertugas.
"Suspek berusia 41 tahun itu ditahan di lokasi kejadian dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut," menurut kenyataan itu.
Semakan awal mendapati, suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah, selain mempunyai rekod rawatan psikiatri dan sedang berada bawah pengawasan pakar.
Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek adalah negatif.
Bagaimanapun polis sedang menyiasat insiden itu dan kes disiasat bawah Seksyen 325/511 kanun keseksaan kerana cubaan menyebabkan kecederaan parah.
Orang ramai dinasihatkan supaya menghormati majlis rasmi negara dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta keselamatan.