fb fb fb fb fb

Seorang maut, tiga sekeluarga cedera dalam kemalangan jalan raya di Lipis

KUALA LIPIS, 22 Oktober- Seorang lelaki maut sementara tiga sekeluarga termasuk kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun cedera dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 7, Jalan Lipis – Merapoh, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, kejadian pada pukul 10.30 malam tadi dipercayai berlaku ketika kereta jenis Toyota Vios yang dipandu lelaki terbabit datang dari arah Merapoh menghala ke Kuala Lipis.

Beliau berkata, ketika sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu lelaki itu dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Proton Persona yang dinaiki keluarga tersebut ketika perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Chergar Perah, di sini.

"Kereta Toyota Vios telah terbalik dan pemandunya, Poon Zhong Soon, 30, beralamat di Kampung Sin Lik, Yong Peng, Johor telah meninggal dunia di tempat kejadian setelah disahkan oleh pasukan perubatan dan dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.

"Mangsa yang cedera pula adalah Amirul Haziq Azmi, 28, dan isterinya, Nur Afrina Salleh, 28, mengalami kecederaan ringan, sementara anak mereka, Ardani Anaki Amirul Haziq berusia 3 tahun cedera di kepala dan masih dalam rawatan di Hospital Lipis.

Seorang maut, tiga sekeluarga cedera dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 7,
Jalan Lipis – Merapoh, di sini.

"Kejadian berlaku di kawasan laluan berselekoh, sistem jalan satu lorong satu hala dan garisan tengah putih berkembar.

"Keadaan cuaca hujan dan jalan basah serta laluan gelap tanpa lampu jalan, "katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, kedua-dua buah kereta itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan dan kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media Baharu