fb fb fb fb fb

Seorang maut, sembilan cedera dirempuh kenderaan terbabas di tepi jalan

RAUB, 26 Oktober- Seorang lelaki maut, manakala sembilan yang lain cedera dalam nahas di Kampung Sungai Pasu, Jalan Raub-Kuala Lipis malam tadi.

Insiden membabitkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux, dua Proton Wira dan sebuah Proton Iswara.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 10.37 malam.

Susulan itu, pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub dibantu BBP Kuala Lipis bergegas ke lokasi kejadian bersama jentera untuk operasi menyelamat.

"Berdasarkan laporan awal, insiden dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux terbabit merempuh tiga buah kenderaan yang diparkir di tepi jalan dan melanggar kesemua mangsa yang berniaga di tepi jalan tersebut.

Akibat rempuhan, seorang lelaki meninggal dunia setelah tersepit di dalam salah sebuah kenderaan jenis Proton Wira, sementara sembilan lagi mangsa termasuk tiga kanak-kanak mengalami kecederaan," katanya.

(Anggota bomba menyelamatkan mangsa yang dirempuh di tepi jalan)

Mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Media Baharu