BAU, 25 Oktober - Seorang maut, manakala seorang lagi cedera dalam nahas membabitkan sebuah pacuan empat roda berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Jagoi, di Bau, pagi tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 6.29 pagi.
Sebuah jentera dengan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau tiba kira-kira 10 minit kemudian.
Setibanya di lokasi, seorang mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke hospital oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Manakala pemandu lelaki yang tersepit dikeluarkan menggunakan peralatan khas oleh pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Bong Say Fung, 41.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 7.45 pagi.