KUALA LUMPUR, 25 Oktober – ASEAN menyambut baik usaha menamatkan keganasan di Gaza menerusi fasa pertama Pelan Damai Gaza yang dikemukakan Presiden Donald Trump bagi mengakhiri konflik di wilayah itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkembangan tersebut menandakan langkah penting ke hadapan dalam usaha mencapai keamanan yang berkekalan di Gaza.
“Perkembangan ini menandakan langkah penting ke hadapan, dan kita berharap ia akhirnya akan membawa kepada penentuan nasib sendiri rakyat Palestin serta penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka,” katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di ibu negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, hari ini.
Tambah beliau, pergolakan politik global dijangka terus membayangi rantau ini, khususnya dalam landskap antarabangsa yang kini semakin dikuasai oleh persaingan berbanding konsensus, serta perpecahan berbanding dialog.
“Ruang kita untuk kekal neutral dan menjadi pusat semakin mengecil, terutamanya dalam bidang perdagangan, teknologi dan keselamatan serantau. Seperti yang saya nyatakan pada awal kepengerusian Malaysia dalam ASEAN, kita mesti terus menjadi pihak yang bersuara, bukan pihak yang disuara,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan keperluan mendesak untuk ASEAN kekal bersatu dan proaktif dalam menghadapi masa depan yang semakin tidak menentu.
"Suara kolektif ASEAN perlu terus diperkukuh bagi memastikan rantau ini kekal relevan, stabil dan berdaya tahan di tengah-tengah cabaran geopolitik global yang semakin kompleks," ujarnya.