KUALA KANGSAR, 24 Oktober – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak bersedia meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan situasi banjir sepanjang Monsun Timur Laut 2025/2026.
Menurut Pemangku Ketua Zon 1 Perak, PgKB II Mohd Firdaus Daud, persediaan meliputi peralatan penyelamatan air, bot, jaket keselamatan, sistem komunikasi dan kesiapsiagaan pasukan khas.
"Selain itu, penilaian turut dilakukan terhadap tahap kesediaan balai bagi melaksanakan tindakan segera sekiranya amaran cuaca buruk dikeluarkan pihak berkuasa", katanya.
Beliau ditemui ketika meninjau Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, yang merupakan salah satu balai strategik operasi bencana banjir negeri Perak.
Beberapa kawasan hotspot banjir di Kuala Kangsar dikenal pasti termasuk Sayong, Enggor, Padang Rengas dan Manong, dengan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah disediakan Pejabat Daerah bersama agensi berkaitan.
Mohd Firdaus menegaskan kerjasama antara JBPM, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) penting bagi memastikan operasi penyelamatan berjalan lancar dan keselamatan orang ramai terjamin.
"Orang ramai turut diingatkan mematuhi amaran cuaca, mengelak kawasan sungai atau rendah semasa hujan lebat, patuh arahan pemindahan, dan menghubungi talian 999 jika berlaku sebarang kecemasan", tambahnya.