KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Pengukuhan integrasi serantau, pertumbuhan ekonomi mampan, serta perpaduan ASEAN dalam menghadapi cabaran geopolitik global dijangka diberi tumpuan dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang berlangsung esok sehingga 28 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, persidangan tersebut menghimpunkan pemimpin ASEAN serta rakan dialog utama seperti Australia, China, India, Jepun, Republik Korea, Rusia dan Amerika Syarikat.
Selain Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (APT), Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), Sidang Kemuncak ASEAN–PBB, dan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN–New Zealand bersempena ulang tahun ke-50 hubungan dialog kedua-dua pihak.
Majlis pembukaan rasmi esok akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bakal menyaksikan Upacara Menandatangani Deklarasi Penyertaan Timor-Leste ke ASEAN, sekali gus menandakan kemasukan rasmi negara itu sebagai anggota ASEAN ke-11.
Antara tetamu khas yang bakal hadir termasuk Perdana Menteri Kanada Mark Carney, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa, serta Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva yang akan berkongsi pandangan mengenai kerjasama ekonomi dan dasar global.
"Sesi Pemukiman pula akan membincangkan pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara (5PC) mengenai Myanmar dan hala tuju dalam menangani krisis politik serta kemanusiaan di negara tersebut," kata kenyataan tersebut di sini.
Selain sidang utama, Malaysia turut akan menganjurkan Sidang Kemuncak RCEP ke-5 dan Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) ke-3, yang menumpukan kepada kerjasama ekonomi, tenaga boleh baharu dan pertumbuhan hijau di rantau Asia.
"Sidang kemuncak kali ini mencerminkan tekad dan iltizam Malaysia dalam memperkukuh agenda integrasi ASEAN serta memperkukuh komitmen terhadap sistem multilateralisme berasaskan peraturan," kata kenyataan itu.
Ini juga menandakan penutup kepada Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, sebelum diserahkan secara rasmi kepada Filipina pada 28 Oktober ini.