PUTRAJAYA, 25 Oktober – Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva hari ini diberi sambutan rasmi sebagai Tetamu Pengerusi bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Ketibaan Presiden Lula dan isteri, Janja Lula da Silva pada pukul 9.00 pagi di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Istiadat sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara sebelum Presiden Lula memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada tiga pegawai dan 110 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai Mejar Khairul Azmi Jamingon.
Presiden Lula kemudiannya mengadakan mesyuarat dua hala dengan Datuk Seri Anwar bagi meneliti kemajuan hubungan Malaysia–Brazil serta memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang.
Ini termasuk perdagangan dan pelaburan, semikonduktor, sains dan inovasi, tenaga boleh diperbaharui, industri halal, pertanian, kesihatan dan pendidikan.
Selain itu, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu serantau dan global, antaranya kerjasama bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), BRICS dan ASEAN, COP30 serta Perikatan Global Menentang Kebuluran dan Kemiskinan dan isu Palestin.
Turut hadir menyambut ketibaan Presiden Brazil ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta beberapa menteri kabinet lain.
Juga hadir, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bersama-sama barisan Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah kementerian.